Monday, 28 September 2009

1 Malaysia








Satu Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Rakyat Malaysia terdiri daripada berbilang kaum atau etnik yang hidup dalam suasana yang harmoni. Keadaan ini adalah unik jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia. Namum demikian, terdapat juga konflik antara kaum yang jarang berlaku. Masalah perpaduanlah yang merupakan masalah utama ke arah kemerdekaan. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Matlamat Satu Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian komponen masyarakat yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan.


Satu Malaysia akan terus menjadi satu proses dinamik pembangunan negara. Sejajar dengan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam memenuhi segala janji yang ditabur kepada rakyat sejagat Malaysia. Tanpa mengambil kira, aspek seseorang rakyat itu dari parti mana,tetapi adalah atas dasar satu Malaysia, demi kebaikan senegara, semua pihak perlu berpegang pada satu landasan dalam merealisasikan apa yang disasar. Menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak : “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.


Pembinaan Negara Bangsa amat penting bagi sebuah Negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriostisme. Keharmonian ini harus berkekalan selama-lamanya. Konsep Satu Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep Satu Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Pembinaan Negara Bangsa merujuk kepada proses pembinaan atau pembentukan sebuah Negara Bangsa,menggunakan kuasa yang ada pada pemerintah dalam negara itu. Proses itu bertujuan untuk menyatupadukan rakyat dalam Negara atau negeri-negeri yang disatukan sebagai persekutuan supaya keadaan politik mereka stabil dan boleh dipertahankan dalam jangka panjang.


Proses pembinaan Negara bangsa boleh meliputi penggunaan integrasi, kewarganegaraan, patriotism dan demokrasi, atau pembangunan infrastruktur utama untuk kepentingan keharmonian sosial dan pertumbuhan ekonomi. Malaysia telah mengambil pelbagai strategi untuk mengejar pertumbuhan ekonomi, sama ada dengan menyusun semula ekonomi nasional atau melaksanakan industrialisasi dengan meniru model pembangunan industri dari Eropah Barat.


Negara bangsa bukan terjadi dengan sendirinya tanpa suatu proses. Pembinaan Negara Bangsa berlaku dalam tempoh yang panjang dan tidak serentak bagi semua lapisan masyarakat. Agen pembinaan Negara Bangsa yang paling utama adalah pendidikan.Pendidikan merupakan satu bidang yang mempengaruhi setiap warga Negara.Pendidikan seringkali dijadikan agen perubahan kerana ia mampu menyentuh kehidupan setiap insan.Sistem pendidikan yang lengkap dengan perancang dasar,pelaksana dasar,dan penilai pelaksanaan adalah wahana yang paling efisien dalam soal pembinaan sebuah Negara bangsa.


Bersatu kita teguh bercerai kita roboh ,sebagai satu fitrah dan pedoman kehidupan semua rakyat, tidak kira sama ada kita bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya asalkan kita satu bangsa Malaysia baru yang patriotik.Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.


Satu Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. Oleh itu, usaha mengukuhkan hubungan antara etnik secara holistik adalah amat mencabar. Ternyata kini, Malaysia sudah mencapai kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Pelan tindakan memupuk dan memperkasakan hubungan antara etnik bersandarkan teras yang telah dibina oleh arkitek negara yang terdahulu,iaitu Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.


Di Malaysia, tidak terdapat institusi yang mengatasi Keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Malahan ketiga-tiga badan kerajaan (perundangan, kehakiman dan eksekutif) mahupun Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia (Mohamed Suffian Hashim, 1987). Semangat Rukun Negara dan Perlembagaan sering dirujuk sebagai batu tanda dalam dasar-dasar kerajaan kearah pembinaan masyarakat berbilang etnik dan budaya yang bersatu. Dengan kedudukan politik yang secara relatifnya kuat dan stabil, kerajaan seharusnya merancangkan dan melaksanakan pelan tindakan untuk mengeratkan perhubungan antara etnik kearah memperkukuh perpaduan nasional.


Satu Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Sebagai rakyat, kita harus mengkaji semua maklumat yang dibaca dan dterima sebelum menyalahkan pemimpin dan negara, kerana pemimpin dan negara merupakan pembentuk masyarakat cemerlang.


Rakyat Malaysia khususnya generasi pasca merdeka seharusnya berasa amat beruntung dan bertuah serta sentiasa mensyukuri nikmat kerana menjadi warga negara ini. Ini disebabkan sejak merdeka, kita tidak pernah menghadapi penderitaan akibat perang. Tidak banyak peristiwa pahit yang dialami melainkan tragedi tahun 1969. Bagaimanapun tragedi tersebut tidak menjadi titik tolak kehancuran negara sebaliknya mendewasa dan mematangkan rakyat akan perkara-perkara sensitif yang boleh merosakkan perpaduan.


Kita tidak melihat ke belakang sebaliknya berusaha memajukan diri. Kita berjaya membangunkan negara dan pada masa yang sama, kita juga telah berjaya mengekalkan keamanan negara serta keharmonian kaum selama lebih dari 30 tahun.Ini merupakan satu rekod pentadbiran dan politik yang baik, lebih-lebih lagi jika kita mengambilkira latar belakang rakyat negara yang berbilang kaum dan berbilang agama. Tidak ada satu negara pun di dalam dunia ini yang mempunyai latar belakang yang sebegitu unik seperti negara kita.


Usaha dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam merealisasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan seharusnya ditonjolkan dengan sebaik-baiknya untuk generasi baharu dan akan datang, agar mereka benar-benar memahami peranan yang boleh dimainkan. Disebabkan itu kita tidak boleh `mengukur kain di baju orang lain’, sebaliknya kita perlu terus yakin, terus percaya, bahawa bukan orang lain, tetapi kita sendiri yang mempunyai formula terbaik untuk rakyat dan negara ini.


Satu Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Selain itu, pemimpin haruslah mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan diri demi negara Malaysia. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.


Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara. Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.


Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perl menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.


Terdapat dua kaedah lazim dapat digunakan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama. Kaedah pertama yang digunakan oleh negara barat seperti Amerika Syarikat adalah mengadakan program yang tidak menyentuh tentang agama, kebudayaan dan adat resam setiap kaum. Kaedah kedua yang sering digunakan di negara membangun seperti di Timur, di mana agama, kebudayaan dan adat resam tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian ialah dengan meneruskan amalan mengikut kaum disamping menanamkan sikap bertolak ansur, saling menghormati dan menerima satu sama lain, serta menggalakkan kesatuan dalam kepelbagaian.


Satu Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.


Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘Satu Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai tersebut adalah, Budaya kecemerlangan, Ketabahan, Rendah hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan dan Integriti.


Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Sekiranya rakyat Malaysia mengamalkan budaya cemerlang maka akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara akan membuka mata dunia luar terhadap negara kita.


Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Pemimpin dan rakyatnya mestilah tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan dalam setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja demi mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara.


Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada tetapi sikap ini perlu dielakkan untuk menunjukkan kekuatan kita semasa berurusan dengan masyarakat luar di luar Negara. Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.


Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.Keperluan ‘Satu Malaysia’ dapat dicerminkan melalui peluang- peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek diberikan kepada semua kaum.


Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara . Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran ,bak kata pepatah Melayu,bersatu teguh ,bercerai roboh. Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.


Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih. Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut.


Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan.Pendidikan untuk pembinaan Negara Bangsa perlu merupakan pendidikan yang bersifat holistik iaitu pendidikan yang mampu melahirkan modal insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang tercatat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan ini menjunjung tinggi ilmu, kemahiran, ketrampilan ,adab dan nilai.sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia seharusnya dimanifestasikan di peringkat sekolah agar menjadi bukti kepada masyarakat dan dunia bahawa modal insan yang mempunyai daya juang, daya kreativiti, daya saing dan jati diri yang tinggi berupaya dihasilkan.

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. Nilai integriti merangkumi perolehan kepercayaan dan keyakinan rakyat .Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan. Yakni kita haruslah menepati janji kerana memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.


Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘Satu Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama Satu Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.


Sebagai kesimpulannya, hasil sumbangan semua lapisan masyarakat yang sanggup membanting tulang serta mengambil risiko maka Malaysia dapat menempuh pelbagai halangan dan rintangan seperti kepincangan sosioekonomi, peristiwa 13 Mei 1969 serta kemelesetan ekonomi kebelakangan ini. Kini ekonomi Negara kita beransur pulih dan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana meneruskan Dasar Integrasi Nasional yang diperkenalkan oleh Tunku Abdul Rahman melalui Gagasan Satu Malaysia!

No comments:

Post a Comment